Khamis, 16 Mac 2017

Bukan tiket automatik

 

HAZWAN (kiri) bersama Fadhli Shas pada sesi latihan skuad kebangsaan, semalam.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Shah Alam: Penyerang Hazwan Bakri mengakui perlu berusaha keras untuk memastikan tempat dalam skuad Harimau Malaysia.

Meskipun memiliki reputasi baik bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim ini, namun pemain kelahiran Labuan itu sedar ia bukan tiket automatik untuk berada dalam pasukan utama kendalian Datuk Ong Kim Swee.


“Saya berada pada tahap yang baik dan selepas beraksi bersama Johor DT, saya dapat merasai peningkatan dalam corak permainan yang mana ia membantu saya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Tapi, saya perlu perkemaskan lagi penyudah saya dan akan berusaha keras untuk memperbaiki apa saja kelemahan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Hazwan melaporkan diri bersama rakan sepasukannya di Johor DT, Fadhli Shas semalam selepas membantu skuad Harimau Selatan mengalahkan Global FC 4-0 dalam Piala AFC, kelmarin.

Biarpun terpaksa bersaing dengan pemain import, pemain berusia 26 tahun itu masih mampu meledak empat gol buat Johor DT setakat ini.

Selain Hazwan, Kim Swee turut memanggil Safee Sali dan Amri Yahyah bagi memantapkan bahagian serangan untuk menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dengan Filipina di Manila pada 22 Mac ini.

“Menjadi satu kebanggaan untuk mewakili skuad kebangsaan kerana semua pemain pastinya mahu beraksi bersama skuad negara masing-masing.

“Jadi, saya perlu sentiasa kekal pada tahap terbaik dan konsisten supaya nama saya sentiasa berada dalam senarai pemain kebangsaan,” jelasnya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 8:29 AM