RM650,000 tebus kontrak Hazwan
Selangor tidak terima tawaran,
namun sedia runding
FADHILUL IZMEL ISHAK | 06
Disember 2016 12:13 AM
Rosman
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS) tidak pernah menerima tawaran daripada mana-mana
pasukan untuk mendapatkan bintang penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri.
Bagaimanapun gergasi bola sepak
tempatan itu menegaskan, seandainya ada pasukan yang mahu memancing pemain
kebangsaan tersebut, kontrak yang perlu ditebus dianggarkan bernilai RM650,000.
Setiausaha Agung FAS, Rosman
Mohd. Ibrahim mengakui, pihaknya bersedia membincangkan mengenai masa depan
penyerang kelahiran Labuan itu, namun ia tidak bermakna Selangor akan
melepaskan Hazwan dengan mudah.
“Setakat ini, FAS belum
menerima tawaran daripada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan Hazwan dan
jika ada yang berminat, mereka perlu berunding dengan kami kerana pemain itu
masih mempunyai kontrak bersama Selangor.
“Kalau mereka benar-benar mahu
mendapatkan Hazwan, mereka perlu menebus kontrak pemain itu terlebih dahulu yang
dianggarkan bernilai RM650,000. FAS juga perlu melihat kepada hasil rundingan
bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosman
memberitahu FAS tidak menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah biarpun
masih mempunyai kontrak bersama Selangor, namun dengan syarat penebusan kontrak
hendaklah dilakukan.
“Jika ada pemain yang ingin
berpindah menyertai pasukan lain dan dia masih mempunyai baki kontrak setahun
(contoh), pemain itu boleh menyertai pasukan yang mereka mahukan. Namun, mereka
perlulah menebus kontrak terlebih dahulu serta mencapai kata sepakat di antara
kedua-dua belah pihak.
“FAS sentiasa terbuka dalam
perkara ini dan adalah penting untuk kami mencapai keputusan menang-menang,”
katanya lagi.
Hazwan, 25, antara penyerang
berprofil tinggi dalam liga domestik sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan
ke juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malah turut menarik minat sebuah
lagi kelab liga utama yang tidak didedahkan identitinya.
Rosman bagaimanapun menegaskan,
beliau tidak tahu menahu mengenai JDT atau mana-mana pasukan yang mahu
mendapatkan Hazwan, sebaliknya kekal dengan pendirian rundingan boleh
dijalankan dengan mana-mana pasukan sekali pun jika mereka memenuhi segala
syarat yang ditetapkan.
Penyerang Harimau Malaysia itu
masih mempunyai baki kontrak bersama Selangor sehingga hujung 2017 dan jika ada
pasukan yang mahu menggunakan khidmatnya sudah pasti mereka perlu mengeluarkan
belanja besar.
Utusan Malaysia difahamkan gaji
pemain itu bersama Red Giants ketika ini mencecah RM50,000 sebulan
sumber- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rm650-000-tebus-kontrak-hazwan-1.416758#sthash.WAhzweeU.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan