KETUA Jurulatih Harimau Malaya,
Tan Cheng Hoe memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika menentang
Singapura pada perlawanan pembukaan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional
Bukit Jalil, semalam. - BERNAMA
21 Mac 2019 10:04 PM
KUALA LUMPUR 21 Mac - Pengendali
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mempertahankan keputusannya menurunkan
Hazwan Bakri berbanding menggunakan khidmat pemain lincah Selangor, Faiz Nasir
ketika aksi menentang Singapura, semalam.
Jelasnya, tindakan menggantikan
pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon dengan Hazwan kerana berpendapat
penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu memberi impak terbaik buat pasukan
negara.
Jika membuat perbandingan, Faiz
yang berada pada prestasi terbaik adalah pilihan lebih tepat untuk diberikan
peluang bermain dalam aksi tersebut berbanding Hazwan yang difahamkan belum
diturunkan JDT dalam aksi Liga Malaysia, musim ini.
“Kerana posisi agak berlainan dan
saya rasa Faiz Nasir lebih sesuai bermain peranan pemain nombor 10.
“Hazwan dah bersama (pasukan)
tahun lepas dan banyak perlawanan (dia bermain), jadi saya rasa di posisi
tersebut Hazwan boleh memberi satu impak atau kesan terbaik untuk negara,”
katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Harimau Malaya terpaksa akur
dengan Singapura apabila tewas 0-1 dalam aksi pembukaan Piala Air Marine 2019
di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Gol tunggal pemain sayap lincah
Singapura, Faris Ramli pada minit ke-82 cukup untuk menghukum Malaysia.
Kekalahan itu cukup mengecewakan
pemain yang terdahulu turut beraksi dalam keadaan agak sunyi dengan kehadiran
hanya 3,000 hingga 4,000 peminat ke stadium yang mampu menampung 90,000
penonton.
Malaysia kini akan menentang
Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini manakala Singapura bertemu
Oman untuk merebut kejuaraan. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hazwan-lebih-lama-bersama-pasukan-berbanding-faiz-1.866948#ixzz5iyCCTfVZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan