aziman@hmetro.com.my

PENGALAMAN di pentas final
Piala Malaysia dua kali berturut-turut seharusnya menjadi kelebihan buat
penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hazwan Bakri untuk berdepan juara
bertahan Kedah pada perebutan kejuaraan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Bukan sekadar merasai nikmat
beraksi di final bersama Selangor sebelum ini, malah pemain berusia 26 tahun
itu turut meledak dua gol ketika menewaskan Kedah 2-0 pada 2015 dan satu gol
ketika seri 1-1 namun tewas menerusi penentuan sepakan penalti 5-6 kepada lawan
sama.
Bagi Hazwan, dia berharap akan
mendapat kepercayaan jurulatih Ulisses Morais untuk beraksi di final buat kali
ketiga berturut-turut.
“Kalau ada rezeki, memang saya
mahu beraksi di final sekali lagi. Kali ini berbeza dengan pasukan baru Johor
DT dan pasukan ini tidak pernah memenangi Piala Malaysia jadi sudah pasti ia
kejuaraan penting buat saya dan pemain.
“Semua pemain cukup bersemangat
dan prestasi pasukan ketika ini semakin baik setiap perlawanan,” katanya.
Bagaimanapun Hazwan yang
menyertai kelab Harimau Selatan itu musim ini, perlu bersaing hebat bagi
merebut posisi penyerang bersama Mohammed Ghaddar dan Darren Lok.
Malah pemain kebangsaan itu
langsung tiada dalam senarai pemain ketika Johor DT seri 0-0 dengan Kedah di
Alor Setar dalam aksi terakhir Liga Super malam tadi dan mungkin ia percaturan
Morais yang mahu Hazwan benar-benar cergas pada perlawanan akhir nanti.
“Perlawanan akhir berbeza, tak
boleh ambil kira keputusan perlawanan pada pertemuan sebelum ini. Memang kami
tahu Kedah ada kekuatan tersendiri, dengan corak hantaran pendek tapi kami
boleh menyaingi mereka,” katanya yang membantu Johor DT muncul juara Liga Super
musim ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 7:23 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan