Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malang menimpa
skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Hong Kong bagi aksi kelayakan
Piala Asia 2019 pada 10 Oktober ini apabila jurulatih Nelo Vingada kehilangan
dua penyerang, Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang mengalami
kecederaan pangkal paha.
Hazwan tidak melaporkan diri
bersama lima lagi pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) manakala Shahrel yang
juga pemain PKNP FC, mendapat kecederaan itu ketika sesi latihan terakhir
sebelum berlepas ke Hong Kong kelmarin.
Situasi itu menyebabkan Vingada
hanya memiliki seorang penyerang iaitu Darren Lok (Johor DT) dalam senarai 21
pemain untuk beraksi di Stadium Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B
kelayakan Piala Asia 2019.
Bagi Darren, 26, pemain
kelahiran England itu berkata, dia sedia menggalas tugas meskipun mendapat
kritikan selepas Harimau Malaya seri 1-1 dalam pertemuan pertama dengan Hong
Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka, 5 September lalu.
“Ini perlawanan penting, kami
tidak mendapat keputusan yang diinginkan ketika menentang Hong Kong di laman
sendiri. Memang pada perlawanan di Melaka, kami mempunyai peluang untuk menang.
Sekarang kami sudah tahu permainan mereka jadi kami mahu mencari kemenangan
disana.
“Kami tidak kalah dengan Hong
Kong di tempat sendiri, saya fikir kami tidak ada tekanan untuk meneruskan misi
ini untuk layak,” katanya kepada Arena Metro.
Darren sudah beraksi dalam
lapan perlawanan dan menyumbat satu gol ketika Malaysia tewas 1-2 kepada Syria
dalam aksi persahabatan antarabangsa 22 Ogos lalu.
Bagaimanapun dia mengaku perlu
berusaha keras untuk menembusi benteng Hong Kong yang bakal dibarisi pemain
naturalisasi.
“Mereka memang mempunyai
kekuatan fizikal. Walaupun mereka menurunkan pemain naturalisasi, itu tak
bermakna kita tidak boleh menewaskan mereka,” kata bekas pemain kelab England
Eastbourne Borough FC itu.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 3:58 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan