Jumaat, 23 Disember 2016 |
11:56pm
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my

PENYERANG Selangor Ahmad Hazwan
Bakri dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan diiktiraf Penyerang Terbaik
pada majlis penyampaian Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016 malam ini.Musim ini
beliau menyarung jersi Selangor untuk 25 perlawanan dan berjaya menjaringkan
tujuh gol. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Tahun 2016 nyata
menjadi detik gemilang buat bekas penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri
selepas meraih dua anugerah berganda pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016
yang berlangsung di sini, malam tadi.
Anak kelahiran Labuan yang kini
menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bukan sahaja menggondol anugerah
Penyerang Terbaik namun turut dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai pada
malam penuh berprestij itu.
Pemain berusia 25 tahun itu
muncul sebagai pemain The Red Giants paling menyerlah pada musim ini dengan
meledak tujuh gol selain mencatat persembahan memberangsangkan ketika menggalas
tugas selaku penyerang nombor satu skuad Harimau Malaysia.
Bagaimanapun, pasukan Harimau
Selatan sekali lagi mendominasi anugerah selepas merangkul enam anugerah
daripada 25 pencalonan menerusi Safiq Rahim selaku Pemain Tengah Terbaik dan
Pemain Import Terbaik dan Penjaring Terbanyak Import Liga Super yang
dianugerahkan kepada pemain Argentina, Jorge Pereyra Diaz.
Malah, kejayaan mereka
menamatkan saingan Liga Super tanpa kalah sekali gus melengkapkan hatrik Liga
Super dan meraih kejayaan berganda dengan memenangi Piala FA membolehkan mereka
dinobatkan selaku Pasukan Bola Sepak Terbaik.
Sementara itu, juara Piala
Malaysia, Kedah turut boleh mendabik dada selepas jurulatihnya, Tan Cheng Hoe
dipilih selaku Jurulatih Terbaik dan pemain terbaik final Piala Malaysia, Rizal
Ghazali merangkul gelaran individu keduanya apabila muncul selaku Pertahanan
Terbaik.
Penjaga gol Kelantan, Khairul
Fahmi Che Mat kembali meletakkan dirinya selaku penjaga gol nombor satu negara
dengan anugerah Penjaga Gol Terbaik sementara seorang lagi bintang baharu JDT,
Safawi Rasid yang sebelum ini beraksi bersama T-Team dinobatkan selaku Pemain
Muda Terbaik.
Bagi anugerah lain, Penjaring Terbanyak
Tempatan Liga Super menjadi milik pemain Perak, Fazrul Hazli Abd Kadir
sementara pemain Kuantan FA, Abd Malik Mat Ariff menggungguli kategori Liga
Perdana.
Seperti diduga, penggempur
Melaka, Ilija Spasojevic menerima anugerah Penjaring Terbanyak Import Liga
Perdana dengan pasukan terbabit turut merangkul anugerah Penyokong Terbaik.
Senarai Pemenang :-
Pemain Paling Bernilai: Ahmad
Hazwan Bakri (Selangor)
Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan
Bakri (Selangor);
Pemain Tengah Terbaik: Safiq
Rahim (JDT)
Pertahanan Terbaik: Rizal
Ghazali (Kedah)
Penjaga Gol Terbaik: Khairul
Fahmi Che Mat (Kelantan)
Pemain Import Terbaik: Jorge
Pereyra Diaz (JDT)
Pemain Muda Terbaik: Safawi
Rasid (T-Team)
Jurulatih Terbaik: Tan Cheng
Hoe (Kedah)
Penjaring terbanyak tempatan
Liga Super: Fazrul Hazli Abd Kadir (Perak)
Penjaring terbanyak import Liga
Super: Jorge Pereyra Diaz (JDT)
Penjaring terbanyak tempatan
Liga Perdana: Abd Malik Mat Ariff (Kuantan FA)
Penjaring terbanyak import Liga
Perdana: Ilija Spasojevic (Melaka)
Anugerah Fair Play: Negeri
Sembilan
Kelab Penyokong Terbaik: Melaka
Pasukan Bola Sepak Terbaik: JDT
Laman web terbaik: JDT
Laman sosial terbaik: JDT
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
23 Disember 2016 | 11:56pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan