ISNIN, 12 DISEMBER 2016 @ 11:03
PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my HAZWAN Bakri. - Foto Hairul Anuar Rahim KUALA LUMPUR: Desas
desus perpindahan ayam tambatan Selangor, Ahmad Hazwan Bakri akhirnya terjawab
apabila dia sah menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk
musim depan. Hazwan yang juga penyerang utama skuad Harimau Malaysia mengikat
kontrak selama dua tahun bersama JDT.
Pengarah agensi dan bakat MVP Sports Agency
yang juga ejen Hazwan, Hafizan Halim mengesahkan berita perpindahan yang sangat
ditunggu seluruh peminat JDT itu. "Proses perpindahan itu sepatutnya
dilakukan hari ini, tapi memandangkan semua pejabat termasuk JDT bercuti,
proses itu terpaksa dilaksanakan esok.
"PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor)
dan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) akan bersemuka esok untuk menyelesaikan
beberapa proses akhir dokumen perpindahan itu," katanya Hafizan ketika
dihubungi, hari ini. Berita perpindahan itu pastinya bukan satu kejutan kerana
pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini sudah menjelaskan pihaknya
akan menghantar surat rasmi kepada FAS untuk mendapatkan Hazwan. Hazwan adalah
pemain Selangor kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas berakhir
musim ini apabila JDT terlebih dahulu mengikat pemain tengah, Nazmi Faiz
Mansor.
Terdahulu, JDT menerusi laman
Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers hari ini memuatkan naik gambar Tunku
Ismail bersama Hazwan berserta kenyataan ringkas: "Selamat datang Hazwan
Bakri. Luaskan Kuasamu Johor." Bagaimanapun, Hazwan ketika dihubungi
enggan mengulas lanjut mengenai perpindahannya ke kelab gergasi Liga Malaysia
itu.
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/223204
Tiada ulasan:
Catat Ulasan