ARKIB : 04/08/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pengendali skuad Olimpik negara, Ong
Kim Swee mungkin boleh sedikit tersenyum lebar dengan tahap penyudah yang
dipamerkan oleh barisan serangannya dalam tiga perlawanan persahabatan di
Slovakia.
Lima gol yang tercipta sudah cukup menceritakan
bahawa skuad Olimpik yang bertapa di Slovakia selama sebulan ini semakin
menunjukkan perkembangan positif bagi menempuh gelora pusingan akhir kelayakan
Olimpik yang dijadualkan berlangsung September depan.
Pada perlawanan yang terakhir, Selasa lepas skuad
Olimpik berjaya membenam MFK Topvar Topolcany 2-1, kali ini hasil sumbangan
penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain tengah, Mohd. Irfan
Fazail.
Sebelum itu, dalam perlawanan sulung, skuad Olimpik
menang tipis 1-0 ke atas FK Bodva Moldova 1-0 hasil jaringan Wan Zaharulnizam
Wan Zakaria dan meneruskan rentak kemenangan 2-1 semasa pertemuan dengan MFK
Topvar Topolcany, jaringan dicipta penyerang muda, Mohd. Ferris Danial dan
Fandi Othman.
Biarpun begitu, Kim Swee berkata, dia hanya boleh
membuat rumusan yang tepat terhadap barisan serangan selepas empat perlawanan
persahabatan terakhir di Slovakia.
''Kita berjaya menjaringkan gol dalam setiap
perlawanan, itu perkara yang membuatkan saya cukup gembira selepas tiga perlawanan
dilalui di sini.
''Namun ia masih terlalu awal untuk menyatakan
tahap penyudah pemain sudah berada di tahap menyakinkan cuma saya harapkan
petanda positif ini akan berterusan," katanya yang dihubungi, semalam.
Tambahnya, apa yang mustahak, dia melihat tahap
keyakinan pemain sudah menjangkau jauh jika mahu dibandingkan aksi mereka dalam
dua musim terdahulu.
''Mereka semakin berani membuat keputusan dan tahap
disiplin juga semakin baik dari setiap perlawanan.
''Cuma yang saya kurang berpuas hati sedikit, tahap
konsentrasi pemain yang saya lihat tidak konsisten terutamanya sehingga 90
minit perlawanan pada perlawanan semalam.
''Gawang kita boleh bocor pada masa kecederaan
ekoran pemain sudah hilang fokus, saya harap ia tidak berulang lagi selepas
ini, mereka sepatutnya kekalkan konsentrasi jika tidak mahu lawan menghukum
kita," katanya.
Skuad Olimpik bakal berdepan kelab Divisyen Satu
Hungary, Budapest Honved FC pada 9 Ogos ini dan akan mendapat kembali sentuhan tujuh
pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya selepas tiba di Slovakia hari
ini.
Mereka adalah ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat,
Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, K. Gurusamy, Izzaq Faris
Ramlan dan Ahmad Fakri Saarani.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5faYnvhw7
© Utusan Melayu (M) Bhd