
PENYERANG Malaysia, Ahmad Hazwan
Bakri ketika mengasak pemain Jordan pada perlawanan persahabatan di antara
Malaysia dan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.-BERNAMA
31 Ogos 2019 2:25 PM
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Hazwan
Bakri menjadi antara tiga pemain yang digugurkan ketua jurulatih Harimau
Malaya, Tan Cheng Hoe menjelang aksi Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023.
Kelibat Hazwan yang dipanggil
menyertai skuad negara sebelum ini turut mendapat pandangan negatif daripada
peminat-peminat bola sepak negara dengan menyifatkan penyerang Johor Darul
Ta’zim (JDT) itu tidak berada dalam prestasi terbaik, selain sekadar memanaskan
bangku simpanan dalam saingan liga tempatan.
Turut menyertai Hazwan dalam
senarai pemain yang digugurkan adalah Faiz Nasir dan Jafri Firdaus Chew.
““Hazwan kita tahu dia seorang
penyerang yang berkaliber tetapi kurang beraksi dan sebab itulah dia tidak
dapat mengekalkan prestasi dan tempo perlawanan antarabangsa. Kita akan beri
dia peluang pada masa akan datang dan memantau prestasinya dalam saingan Piala
Malaysia nanti.
“Faiz pula disebabkan dia
mengalami demam dan badannya agak lemah sedikit. Jadi kita terpaksa tinggalkan
dia untuk ke Jakarta nanti.
“Sementara Jafri, kita panggil
dia untuk memberi peluang kepadanya bersaing di bahagian serangan. Tapi saya
rasa dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan tempat dalam pasukan
kebangsaan,” kata Cheng Hoe.
Skuad negara menghadapi
perlawanan sulung Kumpulan G, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala
Asia 2023 bertemu Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5
September 2019.
Pertemuan menentang pasukan
Jordan yang berada di ranking ke-99 dunia itu dalam aksi persahabatan, semalam
di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Harimau Malaya tewas 0-1 tetapi ia
menjadi pentas terbaik Cheng Hoe untuk mencari kombinasi yang akan digunakan
sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.