Ahad, 25 Disember 2016

Hazwan Bakri raih dua gelaran pada ABK 2016

23 DISEMBER 2016
Hazwan Bakri
Hazwan Bakri Anugerah pemain paling bernilai jatuh kepada Ahmad Hazwan Bakri dari Selangor. - Foto Bernama
PENYERANG kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri menamatkan musim ini dengan bergaya selepas membolot dua gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 di sebuah hotel di Subang Jaya dekat sini, malam ini.

Bekas penyerang Selangor itu, yang sah menyertai juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan, dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, yang beraksi bagi pasukan Kelantan, melakar sejarah tersendiri dengan memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima selepas memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga  2013.

Bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim pula memenangi gelaran Pemain Tengah Terbaik untuk kali keempat selepas memenangi anugerah sama pada 2011, 2012 dan 2015.

Dua individu penting yang membantu Kedah menjulang Piala Malaysia musim ini iaitu Muhammad Rizal Ghazali dan Tan Cheng Hoe masing-masing dipilih sebagai  Pemain Pertahanan Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Bekas pemain sayap T-Team Muhd Safawi Rasid, yang sah menyertai JDT pada musim depan, pula dipilih sebagai Pemain Muda Harapan.

Pada majlis berkenaan, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang merupakan pentadbir Liga Malaysia, turut memberikan dua anugerah khas kepada individu yang memberi sumbangan kepada bola sepak tanah air.

Pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menerima penghargaan khas selepas beliau disenarai pendek antara tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala mendiang Ah Wa, yang merupakan peminat fanatik pasukan Liga Super Perak, menerima anugerah penghormatan khas.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali turut menghadiri majlis itu.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dianjurkan setiap tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP bagi mengiktiraf pencapaian pihak yang berkepentingan dalam Liga Malaysia.  

Senarai Pemenang:

Pemain Paling Bernilai: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pemain Pertahanan Terbaik: Muhammad Rizal Ghazali (Kedah)

Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (JDT)

Jurulatih Terbaik: Tan Cheng Hoe (Kedah)

Anugerah Fair Play – Negeri Sembilan

Pemain Wanita Terbaik – Dandree Rofinus (MISC-MIFA)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) - Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak, 7 gol)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Super) – Jorge Pereyra Diaz (JDT, 18 gol)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana) – Abdul Malik Mat Ariff(Kuantan FA, 10 gol)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Perdana) - Ilija Spasojevic (Melaka United, 24 gol)

Pasukan Bola Sepak Terbaik – Johor Darul Ta’zim

Kelab Penyokong Terbaik - Melaka United

Laman Media Sosial Terbaik – Johor Southern Tigers

Laman Web  Terbaik – Johor Southern Tigers

Anugerah  Komuniti – Subadron Aziz Football Academy dan Kindness Malaysia

Anugerah Khas Piala Presiden - Kelantan

Anugerah Khas Piala Belia – Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Bawah 17

Anugerah  Khas  Selamat  Datang  –  MISC  MIFA dan  PKNP FC

Penghargaan  Khas  –  Mohd Faiz  Subri  (Anugerah Puskas FIFA)

Penghormatan Khas - Mendiang Ah Wa

- Bernama

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  23 DISEMBER 2016

Sabtu, 24 Disember 2016

Hazwan pemain terbaik

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR  |  24 Disember 2016 12:07 AM
 Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Seri Afandi
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Seri Afandi
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Seri Afandi Hamzah (kiri) menyampaikan trofi Penghargaan Khas kepada Faiz Subri dalam majlis penyampaian Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di Shah Alam malam tadi sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam.
SHAH ALAM 23 Dis. - Penyerang kebangsaan yang akan beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan, Ahmad Hazwan Bakri memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 yang berlangsung di sini malam ini.
Bekas pemain Selangor itu turut menerima anugerah Penyerang Terbaik ABK 2016 hasil kejayaannya menjaringkan tujuh gol dalam 25 penampilan musim ini bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.
Pemain berusia 25 tahun itu dipilih selepas menerima undian majoriti daripada 24 jurulatih tempatan serta ketua pasukan selain media tempatan.
“Sukar menggambarkan perasaan saya. Saya rasa berbelah ba­hagi antara gembira dan sedih. Gembira kerana dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai dan sedih kerana gagal bantu Selangor meraih sebarang trofi musim ini.
“Kejayaan ini akan menjadi perangsang untuk saya terus beraksi cemerlang pada musim akan datang.
“Saya bagaimanapun sudah bersedia dengan cabaran baharu dalam karier saya. Sudah pasti saya akan bekerja keras untuk membantu pasukan JDT mempertahankan gelaran juara Liga Super selepas ini,” katanya.
Bintang Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri pula diberikan Penghargaan Khas kerana jaringan luar biasanya semasa perlawanan Liga Super menentang Pahang tersenarai dalam Anugerah Puskas FIFA.
Sementara itu JDT bersama barisan pemainnya berada di dalam kelas tersendiri apabila berjaya merangkul enam anugerah termasuk Pasukan Terbaik selain turut menerima anugerah Laman Web serta Laman Media Sosial Terbaik menerusi Johor Southern Tigers.
Kapten JDT, Safiq Rahim terus menerima pengiktirafan apabila dinobat selaku pemain tengah terbaik manakala penyerang impot sensasi mereka Jorge Pareyra Diaz diangkat sebagai Pemain Import Terbaik serta Penjaring Terbanyak Import Liga Super selepas meledak 18 gol dalam 22 penampilan liga.
Pemain Perak, Fazrul Hazli Mohd. Kadri diiktiraf sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.
Dalam pada itu pertahan Kedah, Rizal Ghazali dipilih selaku Pemain Pertahanan Terbaik manakala jurulatih Lang Merah, Tan Cheng Hoe menerima anugerah Jurulatih Terbaik.
Penjaga gol kebangsaan, Khai­rul Fahmi Che Mat dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik dan Safawi Rasid dari TFCII dipilih selaku Pemain Muda Harapan.
Pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff menerima anugerah Penjaring Terbanyak Liga Perdana manakala pemain import Melaka United, Ilija Spasojevic diiktiraf sebagai Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana selepas menjaringkan 27 gol.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hazwan-pemain-terbaik-1.423705#sthash.yZvVkYpP.dpuf

Khamis, 22 Disember 2016

Hazwan Bakri kini sah milik JDT

ISNIN, 12 DISEMBER 2016 @ 11:03 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my HAZWAN Bakri. - Foto Hairul Anuar Rahim KUALA LUMPUR: Desas desus perpindahan ayam tambatan Selangor, Ahmad Hazwan Bakri akhirnya terjawab apabila dia sah menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim depan. Hazwan yang juga penyerang utama skuad Harimau Malaysia mengikat kontrak selama dua tahun bersama JDT.

 Pengarah agensi dan bakat MVP Sports Agency yang juga ejen Hazwan, Hafizan Halim mengesahkan berita perpindahan yang sangat ditunggu seluruh peminat JDT itu. "Proses perpindahan itu sepatutnya dilakukan hari ini, tapi memandangkan semua pejabat termasuk JDT bercuti, proses itu terpaksa dilaksanakan esok.

 "PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor) dan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) akan bersemuka esok untuk menyelesaikan beberapa proses akhir dokumen perpindahan itu," katanya Hafizan ketika dihubungi, hari ini. Berita perpindahan itu pastinya bukan satu kejutan kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini sudah menjelaskan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada FAS untuk mendapatkan Hazwan. Hazwan adalah pemain Selangor kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas berakhir musim ini apabila JDT terlebih dahulu mengikat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor.

Terdahulu, JDT menerusi laman Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers hari ini memuatkan naik gambar Tunku Ismail bersama Hazwan berserta kenyataan ringkas: "Selamat datang Hazwan Bakri. Luaskan Kuasamu Johor." Bagaimanapun, Hazwan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perpindahannya ke kelab gergasi Liga Malaysia itu.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223204

Rabu, 14 Disember 2016

Belum pasti kekal di Selangor'

 
Kuala Lumpur: Penyerang Ahmad Hazwan Bakri (dua kiri) masih belum membuat keputusan mengenai kedudukannya bersama Selangor susulan kemelut dalaman yang menimpa Red Giants ketika ini.

Pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu masih mempunyai kontrak setahun dengan Selangor namun persiapan pasukan yang tidak menentu kerana masalah kewangan, meletakkan dirinya dalam keadaan tersepit.

“Belum tahu lagi (kekal bersama Selangor), tengok keadaan. Saya masih ada kontrak dengan Selangor tapi kena bincang dulu dengan pihak pengurusan,” kata Hazwan kepada Arena Metro semalam.


Nasib Selangor musim depan masih belum pasti selepas kerajaan negeri membuat keputusan tidak mahu menyalurkan bantuan kewangan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Pergeseran antara Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dengan barisan Exco dikatakan menjadi punca kemelut dalaman itu.

Sehingga kini, skuad juara Piala Malaysia 33 kali itu masih tidak mempunyai jurulatih dan tidak mengambil pemain baru termasuk import.

Pertemuan pihak pengurusan pasukan dengan 14 pemain yang masih memiliki kontrak yang dirancang semalam dibatalkan kerana ada pemain tidak dapat hadir.

Hazwan yang menjadi wira Selangor pada final Piala Malaysia 2015 dilaporkan diintai beberapa pasukan termasuk Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Memang ada pasukan berminat tapi saya tidak boleh buat keputusan kerana masih ada kontrak. Kalau boleh mahu kekal dengan Selangor selagi mereka memerlukan khidmat saya tapi segala-galanya bergantung kepada perbincangan nanti,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:07 AM

Isnin, 5 Disember 2016

RM650,000 tebus kontrak Hazwan

RM650,000 tebus kontrak Hazwan
Selangor tidak terima tawaran, namun sedia runding
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  06 Disember 2016 12:13 AM
Rosman 
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak pernah menerima tawaran daripada mana-mana pasukan untuk mendapatkan bintang penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri.
Bagaimanapun gergasi bola sepak tempatan itu menegaskan, seandainya ada pasukan yang mahu memancing pemain kebangsaan tersebut, kontrak yang perlu ditebus dianggarkan bernilai RM650,000.
Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd. Ibrahim mengakui, pihaknya bersedia membincangkan mengenai masa depan penyerang kelahiran Labuan itu, namun ia tidak bermakna Selangor akan melepaskan Hazwan dengan mudah.
“Setakat ini, FAS belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan Hazwan dan jika ada yang berminat, mereka perlu berunding dengan kami kerana pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Selangor.
“Kalau mereka benar-benar mahu mendapatkan Hazwan, mereka perlu menebus kontrak pemain itu terlebih dahulu yang dianggarkan bernilai RM650,000. FAS juga perlu melihat kepada hasil rundingan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rosman memberitahu FAS tidak menghalang mana-mana pemain yang mahu berhijrah biarpun masih mempunyai kontrak bersama Selangor, namun dengan syarat penebusan kontrak hendaklah dilakukan.
“Jika ada pemain yang ingin berpindah menyertai pasukan lain dan dia masih mempunyai baki kontrak setahun (contoh), pemain itu boleh menyertai pasukan yang mereka mahukan. Namun, mereka perlulah menebus kontrak terlebih dahulu serta mencapai kata sepakat di antara kedua-dua belah pihak.
“FAS sentiasa terbuka dalam perkara ini dan adalah penting untuk kami mencapai keputusan menang-menang,” katanya lagi.
Hazwan, 25, antara penyerang berprofil tinggi dalam liga domestik sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malah turut menarik minat sebuah lagi kelab liga utama yang tidak didedahkan identitinya.
Rosman bagaimanapun menegaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai JDT atau mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan Hazwan, sebaliknya kekal dengan pendirian rundingan boleh dijalankan dengan mana-mana pasukan sekali pun jika mereka memenuhi segala syarat yang ditetapkan.
Penyerang Harimau Malaysia itu masih mempunyai baki kontrak bersama Selangor sehingga hujung 2017 dan jika ada pasukan yang mahu menggunakan khidmatnya sudah pasti mereka perlu mengeluarkan belanja besar.
Utusan Malaysia difahamkan gaji pemain itu bersama Red Giants ketika ini mencecah RM50,000 sebulan

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rm650-000-tebus-kontrak-hazwan-1.416758#sthash.WAhzweeU.dpuf

Hazwan jadi rebutan

Tumpuan utama perpindahan menjelang musim 2017
OLEH FADHILUL IZMEL ISHAK (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  05 Disember 2016 12:15 

AHMAD HAZWAN BAKRI

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Selangor berdepan cabaran hebat untuk mengekalkan bintang penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri musim depan apabila pemain itu bukan sahaja dipancing juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), malah turut menarik minat satu lagi kelab Liga Super.
Hazwan, 25, mengakui menerima tawaran daripada dua pasukan dalam liga utama, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menghormati Selangor sebagai majikannya.
“Saya minta maaf. Saya tidak boleh memberi sebarang komen mengenai masa depan saya musim depan kerana masih mempunyai baki kontrak sehingga hujung 2017.
“Bagaimanapun saya akui ada menerima tawaran daripada dua pasukan Liga Super tetapi saya tidak boleh dedahkan siapa pasukan itu,” kata Hazwan, yang ketika ini sedang bercuti di kampung halaman di Labuan.
Dianggap antara penyerang berprofil tinggi dalam Liga Malaysia (Liga M), tidak keterlaluan untuk mengatakan hanya pasukan gergasi mampu menawarkan gaji tinggi kepada pemain itu bagi membebaskannya daripada pasukan besar seperti Selangor.
Hazwan pasti menjadi tum­puan utama dalam pasaran perpindahan pemain yang sedang rancak berjalan, sebelum pendaftaran ditutup pada 22 Januari 2017.
Selain JDT, yang sudah mendapatkan dua pemain Selangor Mohd. Azrif Nasrulhaq (perte­ngahan musim) dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor (hujung musim), Pahang dilihat antara pasukan berpotensi untuk membeli penyerang kelahiran Labuan itu kerana Tok Gajah kini serius untuk membentuk pasukan mantap bagi musim 2017.
JDT sudah pun menyatakan hasrat untuk mendapatkan Hazwan apabila pada 17 November lalu pemilik kelab tersebut, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya bakal menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Pahang pula antara pasukan yang dijangka berbelanja besar musim depan untuk menguatkan semula cabaran mereka selepas nyaris tersingkir daripada liga utama musim ini.
Selepas mengharungi musim buruk pada 2016, Pahang mahu memulihkan semula re­putasinya dan langkah terbesar yang diambil pasukan itu adalah membawa pulang bekas jurulatih, Dollah Salleh.
Skuad Tok Gajah juga dikatakan mahu mendapatkan beberapa nama besar musim depan.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hazwan-jadi-rebutan-1.416516#sthash.gyBOoHti.dpuf