HAZWAN (tiga dari kanan) tampil
cemerlang untuk membantu Harimau Muda membelasah Laos 4-1 pada aksi kedua acara
bola sepak Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar semalam.
NAY PYI TAW - Penyerang Selangor,
Ahmad Hazwan Bakri meledakkan hatrik untuk membantu Harimau Muda membelasah
Loas 4-1 dalam acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Stadium Zeyyer Thiri semalam.
Ahmad Hazwan, 22, yang tidak
diturunkan ketika Harimau Muda mencatat kemenangan 2-0 ke atas Brunei pada aksi
pertama Kumpulan A, Selasa lalu membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih,
Datuk Ong Kim Swee.
Kemenangan itu meletakkan skuad
negara di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir, sekali gus mempertahankan
pingat emas yang dimenangi di Indonesia dua tahun lalu.
"Para pemain beraksi lebih
baik pada babak kedua. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kami berjaya
mengutip tiga mata penuh.
"Selepas menjaringkan gol
pertama, pemain-pemain sedikit leka dan gol penyamaan hasil jaringan sendiri
menyebabkan pemain negara berada dalam situasi sedikit tertekan.
"Namun, keadaan kembali baik
dan mengikut perancangan pada babak kedua.
"Sistem penggiliran pemain
memberikan kesan yang positif dan ini adalah satu perlawanan yang baik,"
kata Kim Swee.
Kim Swee berkata, Ahmad Hazwan
memiliki kelebihan tersendiri terutamanya tidak mempersia-siakan peluang yang
terhidang di depan mata.
"Seperti yang saya katakan
sebelum ini, semua pemain perlu bersedia untuk beraksi kerana kami mempunyai
banyak perlawanan. Kami mahu menurunkan pemain yang masih segar. Dia (Ahmad
Hazwan) beraksi cemerlang pada perlawanan ini dan saya perlu memikirkan semula
sistem penggiliran ini," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Kim
Swee mengotakan janjinya untuk melakukan sedikit perubahan taktikal dengan
menyenaraikan lima muka baharu termasuk Ahmad Hazwan berbanding pada aksi
menentang Brunei lalu.
Ahmad Hazwan meletakkan Harimau
Muda di depan seawal minit keenam menerusi satu rembatan kencang untuk
menewaskan penjaga gol Laos, Seng Athit Somvang.
Bagaimanapun, kelekaan anak-anak
buah Kim Swee dihukum dengan gol penyamaan Laos.
Pemain pertahanan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), K. Reuben tertanduk masuk bola ke gawang sendiri hasil sepakan
percuma Laos yang diambil Sauk Aphone Vongchiengkham pada minit ke-40.
Aksi pada babak kedua lebih
rancak terutamanya selepas Kim Swee membawa masuk arkitek muda PKNS FC,
Muhammad Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan S. Shanmugam.
Ahmad Hazwan kembali meletakkan
Harimau Muda di depan pada minit ke-59 sebelum melengkapkan hatrik pada minit
ke-87, manakala satu lagi gol diperoleh menerusi jaringan sendiri pemain Laos, Ketsada
Souksavanh pada minit ke-79.
Harimau Muda yang menewaskan
Brunei 2-0 pada aksi pembukaan Selasa lalu akan bertemu Singapura esok sebelum
menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Vietnam (17 Disember).
RUJUKAN: KOSMO ONLINE 14.12.13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan